Posted by : Encikseh Saturday 17 August 2013



BERUAS: Pihak swasta yang menaja pelajar baru untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir diminta supaya menangguh penghantaran pelajar berkenaan demi keselamatan mereka berikutan pergolakan yang semakin memuncak di negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata terdapat 200 pelajar baharu tajaan swasta yang tiba di Mesir walaupun semua pelajar diminta supaya menangguhkan pemergian mereka ke negara itu. 


"Saya minta pelajar kita yang telah mendapat tempat di universiti tertentu di Mesir jangan berangkat dulu seperti yang diminta dalam arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. 

"Saya minta syarikat swasta yang menaja jangan dengan senyap-senyap menghantar pelajar kita semata-semata untuk keuntungan kerana saya tahu ada 200 pelajar walaupun diarahkan jangan pergi dahulu tetapi mereka telah sampai ke Mesir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Beruas di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, tindakan itu hanya akan menyusahkan pelajar terbabit jika kerajaan membuat keputusan untuk membawa balik semua pelajar yang berada di negara itu.

"Jangan letakkan anak-anak kita dalam keadaan berisiko," katanya. 
Beliau berkata, seramai 3,300 pelajar Malaysia yang kini berada di negara itu selamat.

Katanya, kerajaan mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memantau dengan rapi keadaan di Mesir bagi membolehkan langkah segera diambil jika pergolakan di negara itu semakin meruncing.

"Saya minta Datuk Thajudeen (Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab) untuk pergi melihat sendiri keadaan di sana. Saya bercakap dengan beliau malam tadi," katanya. - BERNAMA

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Post Popular

Labels

Pengumuman Dari Seh Media!

Test
Powered by Blogger.

- Copyright © Semasa Seh! -Semasaseh- Powered by Blogger